fb fb fb fb fb

Polis rampas 1.4 tan metrik daun ketum di Tanah Merah

Foto fail

KOTA BHARU, 10 November -Sebanyak 1.4 tan metrik daun ketum yang disembunyikan di dalam sebuah van dirampas oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bukit Bunga, semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil maklumat orang awam, rampasan dilakukan di kawasan tapak pembinaan dekat Jalan Baru Kampung Chedok, Bukit Bunga, Tanah Merah semalam, kira-kira 8.00 malam.

"Ketika rondaan dijalankan, anggota polis menemukan sebuah van berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik hitam di dalam kenderaan itu yang disyaki mengandungi daun ketum," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut selepas membuka bahagian belakang kenderaan itu menemukan sejumlah besar bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 1,400 kilogram.

Mohd Haki berkata kenderaan dengan semua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan pihaknya kini sedang mengesan pemilik sebenar barang terbabit.

TETITIA YUSOFF