SUNGAI PETANI, 19 November- Polis sedang memburu empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata api di sebuah pusat timbang sawit di Kampung Perak Sungkup, Bukit Selambau pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kejadian itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Dalam insiden tersebut, sebuah kereta berwarna hitam memasuki kawasan premis sebelum tiga lelaki bertopeng dan berpakaian hitam meluru ke arah beberapa pekerja, manakala seorang lagi menunggu dalam kenderaan.
Suspek menggunakan senjata menyerupai pistol dan parang dengan salah seorang daripada mereka menghentak cermin tingkap pejabat sehingga pecah serta melepaskan satu das tembakan yang mengenai siling.
Tiada mangsa mengalami kecederaan dan kes disiasat bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4236999 atau balai polis berhampiran.