fb fb fb fb fb

Polis bongkar stor dadah sintetik bernilai lebih RM500,000

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad (kanan) / Foto Hiasan / Bernama

GEORGE TOWN, 24 September – Polis Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis dadah sintetik bernilai lebih RM500,000 selain membongkar stor penyimpanan dadah jus minuman MDMA di sebuah kediaman di Jelutong.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata kejayaan itu hasil penahanan seorang lelaki di kawasan parkir lokasi sama sekitar pukul 4.25 petang pada Isnin, bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM590,100.

Polis turut menemui 11 paket plastik pelbagai warna disyaki jus serbuk 3,4-metil enadioksi metamfetamina (MDMA) dan sepaket plastik lutsinar berisi dadah ketamin bersama suspek.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan jus minuman MDMA dan menemui 1,134 paket plastik pelbagai warna serta 10 balang plastik lutsinar berisi dadah MDMA dengan berat kira-kira 37.7 kilogram," katanya menerusi kenyataan.

Turut dirampas, tiga paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ketamin seberat 76.8 gram, 128 biji pil ekstasi, 10 biji pil Erimin 5 dan enam bekas plastik berisi cecair dadah seberat 47.7 gram.

Hasil siasatan mendapati, selain aktif sejak Mac tahun ini, suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta didapati positif dadah jenis benzo/ketamin.

Dalam operasi itu, polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bernilai RM90,000 menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM680,100.

Suspek kini direman sehingga 30 September bagi membantu siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN