BAGAN DATUK, 16 Mac - Polis berjaya membongkar sindiket memproses dadah jenis ketamin hasil serbuan di sebuah rumah sewa yang dijadikan makmal haram di Ulu Bernam, Perak minggu lalu.
Seorang lelaki tempatan ditahan ketika serbuan manakala dua lagi suspek lelaki tempatan diberkas di sekitar Lembah Klang, masing-masing berusia 40-an.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Deputi Komisioner Polis Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pelbagai dadah telah dirampas dengan nilai anggaran RM 1.61 juta.
"Hasil pemeriksaan kita telah menjumpai sejumlah 27.05 kilogram (kg) dadah jenis ketamin. 40 liter cecair dadah jenis ketamin 1.8 kg dadah syabu dan pelbagai bahan-bahan kimia serta dengan peralatan memproses dadah. Tangkapan pertama ini adalah dikenali sebagai tukang masak," kata Mat Zani pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk.
Jelasnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 13 Mac hingga 19 Mac 2025 bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Modus operandi sindiket itu adalah menjadikan rumah di kawasan terpencil sebagai makmal haram memproses dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
Sindiket dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lepas manakala dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung seramai 232, 500 penagih.