fb fb fb fb fb

Penyelia pusat kecantikan didenda RM78,000 benarkan 13 PATI tinggal di premis perniagaan

Tertuduh, Leong Siew Me ketika keluar dari bilik mahkamah

TELUK INTAN, 19 Julai- Seorang penyelia pusat kecantikan didenda RM78,000 di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini, atas pertuduhan membenarkan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premisnya, pada Januari lalu.

Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin menjatuhkan hukuman terhadap Leong Siew Me, 63 tahun selepas mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membenarkan 13 imigran haram iaitu dua lelaki warga Myanmar, empat wanita Vietnam, enam wanita Thailand dan seorang wanita warga Laos berusia antara 20 hingga 40 tahun memasuki serta berada dalam premis yang mana tertuduh mempunyai kawalan ke atas premis tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan di sebuah premis di Jalan Medan Ipoh 1F, Medan Ipoh Bistari dalam daerah Kinta kira-kira pukul 11 malam, pada 12 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, hukuman denda sebanyak RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menbayar denda RM6,000 bagi setiap PATI dengan jumlah keseluruhan RM78,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE