fb fb fb fb fb

Penjenayah dikehendaki mati ditembak selepas rempuh kereta polis

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 25 September- Polis megesahkan kejadian seorang lelaki dipercayai penjenayah dikehendaki ditembak mati selepas bertindak merempuh kereta dinaiki polis di Kampung Kundang Rawang, Gombak, awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi.

Jelasnya, ketika itu sepasukan polis yang sedang menjalankan risikan bagi mengesan suspek terlibat kes pecah kedai di Damansara, terserempak kereta dipandu suspek di sebuah jalan sehala.

"Suspek enggan memberhentikan keretanya lalu bertindak mengundur secara laju dan berbahaya lalu merempuh kereta milik pasukan polis dan orang awam yang berada di tempat kejadian.

"Ekoran daripada itu, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri ke arah kereta suspek dan akhirnya terbabas.

"Suspek telah terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurut Hussein, hasil siasatan mendapati suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan lewat 30-an dan mempunyai 26 rekod jenayah lampau iaitu 17 rekod jenayah dan sembilan rekod jenayah narkotik.

Suspek turut mempunyai 10 rekod kes pecah rumah serta pernah dikenakan tindakan bawah kesalahan POCA Seksyen 15(d).

Polis turut merampas sejumlah peralatan disyaki digunakan untuk pecah rumah di dalam kereta suspek termasuk tiga parang, pemotong besi, kapak dan kuku kambing

Tambah Hussein, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE