fb fb fb fb fb

Peniaga rugi RM500,000, terpedaya pelaburan resort palsu

Seorang peniaga kerugian sebanyak RM500,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan bagi projek pembangunan resort di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu / Foto Hiasan

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Seorang peniaga kerugian sebanyak RM500,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan bagi projek pembangunan resort di Pulau Perhentian, Besut, di sini.

Peniaga berusia 44 tahun itu telah menyertai pelaburan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat pada 23 Ogos 2020.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa telah menandatangani perjanjian dengan pemilik syarikat berkenaan di Kuala Terengganu pada bulan yang sama.

"Mangsa ditawarkan pakej pelaburan modal RM500,000 dengan jaminan keuntungan sebanyak RM394,020 setahun sepanjang penglibatannya dalam projek tersebut.

"Mangsa membuat pembayaran modal secara berperingkat ke dalam akaun syarikat terbabit menggunakan wang simpanan dan hasil jualan perniagaannya," katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun, sehingga kini, mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan penganjur pelaburan gagal dihubungi.

Tambah Azli, mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati, projek pembangunan resort di Pulau Perhentian itu tidak berjalan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian.

Merasa dirinya telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis, pada Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN