fb fb fb fb fb

Penganggur didakwa bunuh pereka dalaman

Lim Wah Siong didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya

PETALING JAYA, 2 Oktober- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman yang maut ditikam 20 kali di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara pada bulan lalu.

Tertuduh, Lim Wah Siong, 50 tahun mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36 tahun, di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara di sini pada 9.00 malam, 14 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 8 November ini untuk sebutan kes bagi penyerahan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.

Hasil siasatan polis, kejadian itu berpunca apabila mangsa menyedari suspek memecah masuk rumah beliau untuk mencuri sebelum berlaku pergelutan yang membawa kepada pembunuhan.

Susulan itu, polis menahan suspek dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada 3 pagi, 21 September lepas kerana disyaki terlibat dalam kejadian terbabit.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI