fb fb fb fb fb

Pasport 'terbang': SPRM Sabah tahan tiga penguat kuasa

Tiga anggota penguat kuasa sebuah jabatan di Kota Kinabalu ditahan SPRM Sabah disyaki terbabit sindiket pasport 'terbang'

KOTA KINABALU, 18 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman tiga anggota penguat kuasa sebuah jabatan di sini yang disyaki terbabit sindiket pemalsuan pembaharuan pasport atau pasport 'terbang' di negeri itu.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 50-an dipercayai ditahan kira-kira pukul 2.00 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

Susulan penahanan itu, ketiga-tiga suspek telah di bawa ke Mahkamah Majistret 2 Kota Kinabalu, Sabah, dan perintah reman selama enam hari sehingga 24 Julai nanti.

"Kesemua suspek yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2023 sehingga kini dan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 setiap pemohon pasport.

"Siasatan awal mendapati seramai 100 pemohon terlibat dan modus operandi adalah dengan memalsukan tandatangan penerima serta memanipulasikan sistem cap jari pemohon sedangkan peraturan menetapkan pemohon perlu hadir sendiri di agensi untuk mengambil pasport yang diluluskan," menurut sumber.

Anggota penguat kuasa yang terlibat kemudian menyerahkan pasport kepada orang tengah tanpa kehadiran pemohon yang masih berada di luar negara dan menerima rasuah kira-kira RM 300,000 daripada sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lepas.

Hasil siasatan menunjukkan penguat kuasa terbabit menerima wang rasuah daripada agen secara pindahan wang ke akaun bank milik seorang daripada penguat kuasa itu yang kemudian mengagihkan kepada rakannya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu sambi menambah kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SITI AISHAH MD ISA