fb fb fb fb fb

Ops Tapis Khas: 537 orang ditahan di Perak

(Antara penagih yang ditahan dalam serbuan dijalankan polis Perak)

IPOH, 13 Oktober- Seramai 537 individu termasuk 16 warga asing ditahan menerusi Op Tapis Khas yang dijalankan serentak di negeri itu .

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah tangkapan membabitkan 525 lelaki dan 12 wanita berusia antara 19 hingga 67 tahun.

Dalam kenyataan beliau memaklumkan, sepanjang operasi tiga hari bermula 10 Oktober lalu, polis telah melakukan serbuan di 22 sarang penagihan dadah.

Katanya, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan Daerah serta balai-balai itu dilakukan di kawasan Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan dan nelayan serta ‘mobile port’.

“Daripada keseluruhan tangkapan yang dilakukan, seramai 49 individu ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 177 orang bagi kesalahan memiliki dadah manakala 275 penagih disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Seramai 22 orang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki ditangkap selain 14 orang pula ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 selain 17 suspek dikenal pasti penagih dadah tegar dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C akta sama,” katanya.

Jelasnya, pelbagai dadah dirampas termasuk 213.25 gram (g) heroin, syabu/methamphetamine (224g), ganja (5.53g), 45 liter cecair ketum, 0.01 liter kodien dan 10.0 kilogram daun ketum.

(Antara dadah yang dirampas menerusi Ops Tapis Khas) Katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM51,813.80.

Dalam serbuan itu, polis turut menyita tiga buah kereta, sembilan buah motosikal dan wang tunai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM143,360.

Media Baharu