RANTAU PANJANG, 14 Oktober- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 38 warga asing menerusi 'Ops Serkap' di sekitar Rantau Panjang, semalam.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan) Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, ia hasil risikan Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan yang disertai 12 pegawai membuat pemeriksaan terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan van di sekitar daerah Rantau Panjang.
Melalui Operasi ini, pihaknya menahan tujuh buah van dengan seramai 22 lelaki dan 16 perempuan warga Thailand diperiksa.
Kesemua warga asing berusia antara 16 tahun hingga 60 tahun itu dibawa ke Kompleks Imigresen Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen1963.
Menerusi kenyataan media, beliau turut menggesa setiap majikan untuk menggaji warga asing yang mempunyai pas yang sah.
Selain, mengingatkan supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat melindungi PATI.