fb fb fb fb fb

OP NAGA: 598 vesel nelayan asing ditahan

Foto Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 17 Oktober - Sebanyak 598 tangkapan Vesel Nelayan Asing (VNA) berjaya dilakukan sepanjang lima tahun pelaksanaan OP NAGA bermula Mei 2019 hingga September 2024.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam satu kenyataan rasmi berkata, nilai hasil keseluruhan tangkapan berjumlah lebih RM209 juta.

Beliau turut memaklumkan, 75 peratus tangkapan yang dilakukan adalah melibat 451 VNA Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan adalah seramai 4,391 orang.

Manakala nilai keseluruhan tangkapan adalah melebihi RM190 juta.

Angka berkenaan jelas beliau, merupakan sebahagian daripada jumlah VNA yang memasuki perairan negara yang berjaya ditahan berikutan terdapat kekangan aset
yang dihadapi seperti penyelenggaraan berjadual serta keuzuran asset-aset yangdimiliki.

Namun tegas beliau, pasukan keselamatan yang terlibat dalam OP NAGA sentiasa komited melaksanakan operasi berkenaan dalam usaha membanteras pencerobohan VNA untuk mengaut hasil laut yang ada di perairan negara.

"Ancaman aktiviti perikanan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUUFishing) perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak sama ada pasukan keselamatan mahupun komuniti maritim setempat."

"Jika tidak dibanteras, aktiviti ini akan menjejaskan habitat ekosistem marin yang bakal mengancam pembiakan benih ikan di mana akhirnya, akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan,” tambah beliau.

OP NAGA merupakan operasi bersepadu yang dikoordinasikan Maritim Malaysia melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Turut terlibat, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Perikanan Sabah.

Datuk Mohd Rosli berharap kerjasama dalam menjayakan OP NAGA dapat diperkasakan lagi demi menjaga kedaulatan serta memastikan sumber ekonomi negara sentiasa terpelihara.

Trainee