fb fb fb fb fb

Op Hawk : 323 individu ditahan di Pahang

FOTO POLIS PAHANG

KUANTAN, 10 Oktober- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang berjaya merampas pelbagai jenis dadah menerusi Op Hawk dengan nilai rampasan RM691,708 pada 7 hingga 9 Oktober lalu.

Dalam operasi tersebut, 323 orang ditangkap melibatkan 265 kes dengan pelbagai kesalahan dadah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah tangkapan itu 307 terdiri daripada lelaki dan 16 perempuan ditahan berumur dalam lingkungan 18 hingga 66 tahun.

Ujarnya, 20 tangkapan adalah berpotensi untuk dituduh bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, sepanjang operasi itu dijalankan, pihaknya berjaya menyita sebuah kereta dan sebuah motosikal dengan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM14,000.

Jenis dadah dirampas adalah syabu (12,344.52 gram); kokain (1301.09 gram); heroin (108.97 gram); ganja (124.84 gram); pil yaba (23.88 gram); erimin 5 (1.01 gram); daun ketum (5.0 kilogram) dan air ketum (103.65 liter).

Operasi berkenaan tertumpu di kawasan sarang penagihan dadah dan lokasi hotspot yang menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh Pahang.

Menurutnya, operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan bagi membasmi masalah dadah di Pahang.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan kegiatan dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-505 1999/2202 dan juga hotline JSJN Pahang ditalian 09-505 2287 atau mana-mana balai polis berdekatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE