KUALA LUMPUR, 10 Disember- Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan usaha sama projeknya diwujudkan untuk kepentingan peribadinya atau untuk mengukuhkan UMNO, parti yang pernah dipimpinnya semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.
Najib dalam keterangan membela dirinya terhadap empat pertuduhan menggunakan jawatannya untuk memperoleh rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, bersama-sama dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.
Beliau tidak bersetuju dengan dakwaan yang dibuat oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mohd Hazem yang menyatakan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low individu yang akan mengatur dan memanipulasi semua pelaburan 1MDB.
Tambah beliau lagi, dia tidak percaya bahawa dakwaan yang dibuat oleh Mohd Hazem boleh diberi sebarang kredibiliti setelah beliau mengakui beliau terpaksa mengikuti arahan Jho Low dan proksi-proksinya.
Dalam kenyataan beliau, masalah 1MDB adalah kegagalan sistematik dalam pelaksanaan keputusan di peringkat pengurusan yang bermula sejak zaman pengurusan oleh bekas CEO Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sehingga ke Mohd Hazem.
Najib juga menafikan dakwaan yang dibuat oleh Mohd Hazem bahawa tindakan beliau adalah atas arahan Setiausaha Sulit Utama Najib, iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias.
Najib berkata kenyataan itu sangat keji dan merupakan satu helah untuk mengecilkan penglibatannya serta peranannya dalam rancangan Jho Low.