fb fb fb fb fb

Nahas pelajar UiTM Dungun: Pemandu wanita direman dua hari lagi

Suspek dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas direman dua hari bagi membantu siasatan melanggar empat pelajar UiTM Dungun, di Mahkamah Majistret Dungun, hari ini/ BERNAMA

DUNGUN, 13 Oktober- Perintah reman terhadap pemandu wanita yang dipercayai merempuh dua motosikal sehingga mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan mencederakan seorang lagi yang lain disambung dua hari bermula esok.

Permohonan reman tersebut dibenarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman di Mahkamah Majistret, di sini hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, wanita berusia 49 tahun yang dipercayai mempunyai penyakit mental itu berpakaian lokap itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.45 pagi.

Dia direman empat hari bermula Khamis lepas setelah ditahan di lokasi kejadian di Jalan Pantai berhampiran universiti berkenaan pada Rabu.

Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, wanita berkenaan yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus.

Tiga yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Seorang lagi mangsa yang cedera juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan ialah Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, yang kini dirawat di Hospital Dungun dan dilaporkan semakin pulih. 

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI