KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Tiga lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mengunakan kad pengenalan (MyKad) palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan kesemua mereka yang dipercayai berasal dari Filipina itu berusia antara 20 dan 39 tahun, ditahan bahagian penguat kuasa JPN menerusi Op Kutip di Petaling Jaya, pada Rabu.
"Mereka dipercayai memperoleh kad pengenalan palsu pada harga antara RM200 hingga RM250 daripada ejen dan kenalan yang digunakan sejak satu atau dua tahun lepas untuk mendapatkan kerja," menurut JPN menerusi kenyataan.
Siasatan awal mendapati hanya seorang daripada lelaki itu mempunyai pasport.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.