fb fb fb fb fb

MHO: 'Tidak adil kepada mangsa kripto Gigamax'

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengadakan sidang media hari ini/Foto MHO

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dalang disebalik skim pelaburan mata wang kripto Gigamax.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim ini susulan 99 aduan daripada pengadu-pengadu yang terpedaya setelah menyertai satu skim pelaburan mata wang kripto di aplikasi Gigamax yang ditawarkan oleh sebuah pertubuhan.

Menurutnya, kesemua pengadu mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM 4,864,861.12.

"Pengadu dijanjikan dengan kadar keuntungan sebanyak 1 peratus setiap hari dari jumlah wang pelaburan.

"Pertubuhan yang dikenali ramai itu juga aktif melakukan persidangan secara dalam talian dan seorang individu yang menggelar dirinya leader akan menghantar kiriman mesej Whatsapp untuk peserta menyertai kelas-kelas pelaburangn mata wang kripto," katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya, masalah mulai timbul apabila pengadu tidak dapat mengeluarkan keuntungan atau modal yang dilaburkan di dalam aplikasi Gigamax.

MHO turut mendakwa ejen atau leader telah memberikan pelbagai alasan mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pelabur.

"Keuntungan para pengadu yang menyertai pelaburan di aplikasi Gigamax telah dipindahkan kepada aplikasi lain dengan nilai pulangan atau faedah yang lebih rendah.

"Aplikasi Gigamax yang terkini pula tidak berfungsi kerana masalah sistem.

"Semua wang pelaburan para pengadu di dalam aplikasi tersebut telah dipindahkan kepada aplikasi yang lain.

"Para pengadu tidak diberikan pilihan sama ada ingin meneruskan pelaburan mata wang kripto aplikasi Gigamax ini lagi ataupun tidak," katanya.

Dakwanya lagi, pelabur disarankan oleh pertubuhan untuk membeli kad Visa berharga 500 US

Para pengadu juga disarankan oleh pertubuhan tersebut untuk membeli kad Visa berharga AS$500 (RM2,355) kononnya bagi membolehkan pengeluaran.

"Namun, kebanyakan pengadu yang membeli kad Visa ini tidak menerima kad yang dijanjikan.

"Sehingga kini tiada siapa yang mengaku bertanggung jawab sebagai pemilik aplikasi berkenaan," katanya.

Tahun lalu, media melaporkan 99 mangsa membuat aduan kepada MHO mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan Gigamax membabitkan kerugian mencecah RM44.9 juta.

Tambahnya, pengadu juga telah membuat laporan polis bagaimanapun keputusan diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA), yang mana laporan tersebut telah dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

"Perkara ini amat pelik dan bagi kes ini, para pengadu jelas menyatakan mereka telah ditipu dan diperdaya oleh sesetengah pempengaruh atau individu yang terkenal untuk menyertai skim pelaburan mata wang kripto ini.

"Tidak adil kepada para pengadu kerana ejen-ejen ini dapat meneruskan kehidupan sedangkan mangsa hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang."

"Mangsa-mangsa memohon supaya keadilan dapat ditegakkan," tambahnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN