KUALA LUMPUR, 22 Februari- Menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang menghilangkan diri sejak Mei lalu diperlukan untuk kembali ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kes pecah amanah jenayah (CBT).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan membabitkan Muhammad Adlan, 48, telah selesai.
“SPRM telah hantar kertas siasatan itu untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) kali-10 di Dewan Tun Hussien Onn, di sini, hari ini.
Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Interpol untuk permohonan Notis Merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat, 69.
Beberapa dokumen termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu berkenaan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan permohonan Notis Merah berkenaan.
Tindakan memanggil Muhammad Adlan adalah pertama kali dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.