KAJANG, 10 Disember- Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan sekitar pukul 11.45 pagi tadi di tepi jalan di kawasan perumahan Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof memaklumkan maklumat diterima dari orang awam yang curiga selepas menemui bagasi dalam keadaan busuk di lokasi kejadian.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi kejadian bersama Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) sebelum mengesahkan satu beg bagasi berwarna biru dijumpai mengandungi mayat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri.
Naazron berkata mayat tersebut dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijangka dilakukan 9 pagi esok.
Kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes ASP Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.