KUANTAN, 14 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup bijih timah seberat 7,500 kilogram di kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika tenggara Pulau Tioman, kira-kira pukul 11.40 malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab, berkata hasil risikan membawa kepada penahanan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang membawa barangan import tidak berkastam.
Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot tersebut bertindak melarikan diri menuju ke Pulau Tioman sebelum berjaya dipintas selepas kira-kira 55 minit.
Pemeriksaan mendapati 11 kru termasuk seorang tekong, berusia antara 23 hingga 52 tahun, kesemuanya lelaki warga Indonesia, berada di atas bot berkenaan.
Siasatan awal menunjukkan bot itu dipercayai berasal dari Pulau Sarang, Batam, Indonesia dan cuba menyeludup masuk muatan bijih timah ke perairan negara.
Kesemua suspek, bersama bot dan muatan bernilai kira-kira RM900,000, dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.