fb fb fb fb fb

Lima individu mengaku tidak bersalah tuduhan pemerdagangan manusia

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 14 Mei - Seorang lelaki tempatan dan empat warga India termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat tuduhan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks sejak Disember tahun lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh warga tempatan, S.Bala Muraly, 46 tahun dan dua lagi lelaki warga India Sahayaraj Raju, 41, K.Thiruneelakandandan, 39 serta dua wanita warga India, J. Karpagavali, 24 dan Y.Nithyarettamary, 39 tahun selepas pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Tamil.

Kes dibicarakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail dan Hakim Fatimah Zahari.

Tertuduh S.Bala Muraly yang juga pengurus sebuah kilang di Johor Bahru dan empat tertuduh didakwa bersama-sama telah memperdagangkan enam wanita warga India berumur 23 hingga 38 tahun tujuan eksploitasi seks dengan cara ancaman atau kekerasan terhadap mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Kempas Indah dan sebuah hotel di Danga Bay, Johor Bahru, dari 10.00 pagi hingga 1.00 pagi 24 Disember tahun lalu hingga 24 April lepas.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdangangan Orang dan Anti Penyeludupan Mirgan 2007dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya , R.Kodesviary manakala S. Bala Muraly dan Sahayaraj Raju diwakili peguam Mohd Fazaly Mohd Ghazaly.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada S.Bala Muraly dengan syarat tambahan manakala tiada jamin ditawarkan kepada empat tertuduh lain.

Sementara itu pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret Johor Bahru, dua wanita warga India terbabit mengaku salah atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini tanpa sebab munasabah.

Pengakuan dibuat mereka di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin.

Kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman masing-masing dipenjara lima bulan dan didenda RM10,000 sekiranya gagal bayar dipenjara selama 12 bulan bermula dari tarikh tangkap 19 April lalu.

Pendakwaan dilakukan bawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

TETITIA YUSOFF