fb fb fb fb fb

Letupan mercun: Dua lelaki ditahan untuk bantu siasatan

Foto hiasan

KULIM, 21 Oktober - Insiden letupan mercun yang menyebabkan 22 individu cedera di Jalan  Paya Besar, di sini Ahad lepas dipercayai akibat mercun dipasang terbalik oleh suspek yang mabuk.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan dalam kenyataan pada malam Isnin memaklumkan, ia berdasarkan siasatan awal selepas penahanan dua suspek.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek sedang lepak bersama beberapa rakan lain di kawasan tersebut. Suspek pertama (dalam keadaan mabuk) telah membeli mercun jenis kelapa di khemah berhampiran.

"Dia memasukkan mercun itu ke dalam silinder yang tersedia di tepi jalan sebelum dibakar oleh suspek kedua," jelasnya.

Bagaimanapun menurut Superintenden Zulkifli, mercun yang dibakar itu tidak naik dan telah meletup di bawah dipercayai akibat dipasang secara terbalik oleh suspek pertama.

Akibat letupan itu, 22 orang yang berada di kawasan berkenaan mengalami kecederaan termasuk seorang mangsa parah di kepala dan retak tengkorak.

Mangsa dirujuk ke Hospital Pulau Pinang serta masih tidak sedarkan diri.

"Setakat ini seramai 10 mangsa telah diambil keterangan untuk membantu siasatan dan penjual mercun sudah dikenal pasti.

"Permohonan reman kedua-dua suspek akan dibuat pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN