fb fb fb fb fb

Lelaki warga emas maut bergaduh dengan rakan

Foto hiasan

LUMUT, 18 September - Seorang warga emas berusia 73 tahun maut selepas dipercayai bergaduh dengan rakannya di sebuah rumah di Sungai Pinang Kecil, Pangkor, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 2.00 petang.
 
“Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pangkor yang tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.
 
Motif kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 73 tahun yang juga rakan serumah mangsa pada pukul 2.30 petang hari sama di hadapan sebuah kedai makan berhampiran.
 
Mahkamah Majistret Seri Manjung membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
 
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Sukjit Singh A/L Jagara Singh di talian 019-550 5536, Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222, atau Hotline WhatsApp 017-682 8005.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN