fb fb fb fb fb

Lelaki serang pemandu guna pengunci stereng ditahan

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 28 Disember - Seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan, dipercayai mencederakan seorang lelaki menggunakan alat pengunci stereng di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan berkenaan kejadian itu diterima daripada mangsa berusia 38 tahun, yang bekerja sebagai pemandu.

"Kejadian dipercayai berlaku disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pengadu yang memandu keluar daripada stesen minyak melulu, sehingga menyebabkan terpaksa brek mengejut.

"Suspek kemudian keluar dari kenderaan lalu memukul muka pengadu menggunakan alat pengunci stereng. Akibat kejadian tersebut, pengadu mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kiri.

"Polis turut merampas sebuah alat pengunci stereng yang digunakan suspek semasa kejadian," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan penjara boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan tersebut.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan sentiasa mematuhi undang-undang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI