fb fb fb fb fb

Kes tembak di KLIA: Polis Perlis, Kedah tingkat kawalan di sempadan

Polis Perlis meningkatkan kawalan dan pemantauan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di lorong-lorong tikus untuk memastikan suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi tadi tidak meloloskan diri dari negara ini / Foto Hiasan / Bernama

KANGAR, 14 April - Polis Perlis meningkatkan kawalan dan pemantauan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di lorong-lorong tikus untuk memastikan suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi tadi tidak meloloskan diri dari negara ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata pihaknya melakukan koordinasi dengan Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi tujuan kawalan dan pemantauan.

“Kita buat pemantauan di jalan-jalan masuk dan di garisan sempadan terutama lorong tikus...juga elemen lain untuk bantu Bukit Aman mengesan suspek,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilapor berkata polis telah melancarkan operasi mengesan suspek selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejaknya.

Dalam pada itu, Polis Kedah turut mengkoordinasikan kawalan di sempadan terutama di sempadan Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Padang Terap yang bersempadan dengan Thailand.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga dan mengadakan sekatan jalan raya dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, polis Kedah akan membantu menyalurkan maklumat dan pengkongsian maklumat mengenai kes itu bersama Bukit Aman.

"Untuk pemeriksaan-pemeriksaan ini kita akan buat disempadan, kita banyak elemen-elemen macam kita ada PGA ,kita ada ATM dan semua koordinasi ini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN