KUALA LUMPUR, 5 Disember – Polis menahan seorang wanita warga China berusia 34 tahun bagi membantu siasatan kes juruwang restoran yang maut ditikam di sebuah pusat beli-belah di Cheras pada 29 November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) IPK Kuala Lumpur di hadapan sebuah kedai serbaneka di KL Sentral pada pukul 4.30 petang pada Rabu.
“Setakat ini, seramai tujuh suspek telah ditahan, termasuk dua lelaki warga China, empat warga Myanmar, dan seorang lelaki tempatan. Bagaimanapun, motif kejadian serta suspek utama masih belum dikenal pasti," katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hasil bedah siasat menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan pada paru-paru kiri dan pendarahan akibat beberapa kesan tikaman menggunakan senjata tajam.
Mangsa, seorang wanita berusia 49 tahun, dipercayai mengalami empat hingga lima kesan tikaman pada badannya dalam kejadian yang berlaku antara pukul 3 hingga 4 petang.