KEMAMAN, 9 November -Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), berjaya merampas rokok putih pelbagai jenama dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM319,228.80 pada, Ogos lalu.
Pengarah Kastam Terengganu, Hasbollah Din berkata, rokok berkenaan dipercayai telah diseludup dengan menggunakan sebuah kenderaan mewah yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Dusun Nyior, dekat Bandar Chukai pada 6 Ogos lalu.
Hasbollah berkata, hasil maklumat daripada orang awam, pihak JKDM telah berjaya mengesan kenderaan mewah terbabit yang diparkir di tepi jalan.
Bagaimanapun pihaknya tidak dapat mengesan sebarang pergerakan individu di kawasan berkenaan ketika penemuan kenderaan terbabit.
"Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan telah menemui sebanyak 350,800 batang rokok putih pelbagai jenama yang disimpan dalam motokar dengan anggaran nilai RM78,528 dan jumlah duti serta cukai terlibat sebanyak RM240,700.80. Kenderaan serta muatannya telah disita untuk siasatan," katanya kepada pemberita, dalam sidang media di Pejabat Kastam Daerah Kemaman, di sini.
Menurut Hasbollah, hasil siasatan awal mendapati rokok berkenaan telah dibawa dari luar negeri untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pihaknya kini sedang giat mengesan individu terbabit dalam kegiatan itu.
Menurut Hasbollah, kenderaan terbabit beserta muatannya disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.