PELABUHAN KLANG, 14 Oktober- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) berjaya menumpaskan tujuh kes penyeludupan bernilai RM30.4 juta di sini antara Ogos hingga 4 Oktober lalu.
Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata ia melibatkan rampasan kenderaan mewah, minuman keras, besi sekerap, sisa buangan elektronik (e-waste) dan beberapa komoditi lain.
Beliau berkata kes tertinggi melibatkan rampasan 1,098.19 tan pelbagai besi sekerap bernilai RM13.2 juta yang dibawa masuk secara haram ke negara ini.
Pihaknya menemui rampasan tersebut di dalam 44 kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 5 September lalu.
"Siasatan awal mendapati semua kontena terbabit tiba di Pelabuhan Klang pada 13 Ogos 2024 dan dagangan berasal dari sebuah negara di benua Amerika.
"Modus operandinya adalah seperti berikut pengimport telah membuat pengikraran yang tidak benar di dalam dokumen manifest import, besi skrap tersebut telah diikrarkan sebagai besi aluminium, kepingan aluminium dan kepingan tembaga untuk mengelak keperluan permit import bagi tujuan pengimportannya", katanya dalam sidang media di sini.
"Kejayaan kes ini adalah kejayaan kolaborasi di antara Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Manakala, kes kedua melibatkan penahanan 107 kontena dengan muatan lebih 2,118.91 tan sisa buangan elektronik bernilai RM5.59 juta.
Katanya, menerusi Ops e-Waste, JKDM dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar berjaya menyelamatkan ketirisan hasil sebanyak RM558,579 menerusi rampasan tersebut.
"Kes lain melibatkan, cecair undenatured ethyl alcohol 96% (RM7.11juta), minuman keras (RM3.11 juta), rokok putih dan kretek (RM31,547), rokok putih dan minuman keras (RM12,003) serta kenderaan import bernilai RM794,000", katanya.