fb fb fb fb fb

JAKIM akan ambil tindakan terhadap GISBH

JAKIM

KUALA LUMPUR, 14 September- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengambil tindakan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd. (GISBH) selaras dengan peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata tindakan terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) telah diambil bermula Februari 2019 menerusi 12 mesyuarat, bengkel, task force dan program kenegaraan.

Tindakan itu turut melibatkan agensi keselamatan negara iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Satu pertemuan tertutup dengan pihakGISBH telah diadakan pada September 2019 melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam), Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah Jakim serta Panel Pakar Tasawuf Jakim.

Mengulas lanjut, Hakimah turut menjelaskan pada Julai 2022, mesyuarat khas bersama agensi keselamatan negara termasuk MKN, PDRM dan KDN telah diadakan bagi tujuan penyelarasan isu berkaitan.

Katanya, perkara itu disusuli beberapa perbincangan pada Ogos 2024, Program Kem Kenegaraan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH kali ke-2 dan dialog bersama pada 22 September.

"Ia atas dakwaan penyelewengan akidah yang masih diamalkan seterusnya disusuli dengan perbincangan bersama NADI Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata, pada Februari 2023, Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah mengenai isu GISBH diadakan melibatkan NADI, Bahagian Ancaman Ekstrimis Sosial E2, Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan bekas pengikut GISBH selain program kenegaraan kepada RPU diteruskan anjuran PDRM dan iLead, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Oktober 2023.

"Pada Februari 2024, satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH diadakan bagi mengkaji lebih mendalam isu-isu akidah, syariah dan tasawuf dalam GISBH," katanya.

Menurutnya, hasil kajian dan dapatan itu akan dibentangkan dalam Muzakarah MKIdan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM), seterusnya memohon perkenan Majlis Raja Raja sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri-negeri bagi tujuan penguatkuasaan.

"Jakim konsisten mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai isu ini dan tidak berkompromi dengan isu-isu yang melibatkan akidah umat Islam," katanya.

Tambah beliau JAKIM sebagai sekretariat MKI menyembah nasihat kepada Majlis Raja-Raja mengenai perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam, dan pendidikan agama Islam.

Selain itu JAKIM berfungsi sebagai agensi persekutuan yang bertanggungjawab dalam penyelarasan dan penyeragaman perundangan serta pandangan hukum dalam kalangan masyarakat Islam.

 BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA