fb fb fb fb fb

Inkues Zara Qairina: Dua saksi kanak-kanak baharu beri keterangan

Gambar hiasan

KOTA KINABALU, 11 Oktober - Prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir, memasuki hari ke-21 hari ini dengan mendengar keterangan dua lagi saksi kanak-kanak di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Kedua-dua saksi berkenaan merupakan saksi baharu yang merupakan saksi ke-11 dan ke-12 dalam prosiding hari ini.

Mereka juga merupakan saksi ke-20 dan ke-21 bagi keseluruhan prosiding sejak inkues bermula pada 3 September lepas.

Kedua-duanya turut ditemani pendamping sepanjang sesi soal jawab bersama peguam-peguam terlibat.

Bagaimanapun pengamal media tidak dibenarkan membuat liputan prosiding inkues melibatkan saksi kanak-kanak.

Mahkamah Koroner mengekalkan status quo untuk tidak membenarkan pengamal media membuat liputan prosiding inkues melibatkan saksi kanak-kanak.

Selari dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, identiti kedua-dua saksi dilindungi sepenuhnya dan prosiding dijalankan secara tertutup.

Menurut pasukan pegawai pengendali kes ketika dihubungi RTM pada 7 Oktober lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa media tidak dibenarkan berada dalam prosiding berkenaan sehingga semua saksi kanak-kanak selesai memberi keterangan.

Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak.

Inkues yang pada asalnya dijadualkan berlangsung selama 17 hari sepanjang September, diteruskan selepas tarikh dilanjutkan mulai 7 Oktober bagi memberi ruang kepada baki saksi memberi keterangan.

Minggu lalu, Mahkamah Koroner menetapkan prosiding hanya dijalankan setiap Isnin hingga Khamis.

Setakat ini, seramai 21 saksi telah memberi keterangan, melibatkan sembilan dewasa dan 12 kanak-kanak daripada 68 saksi keseluruhan dalam prosiding bagi mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

GRACE AISYAH KEDAYAN