fb fb fb fb fb

Individu memiliki dadah, halang tugas polis ditahan

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar/Fail

JOHOR BAHRU, 17 Oktober- Seorang lelaki ditahan atas kesalahan memiliki dadah jenis heroin seberat 296 gram selain menghalang tugas penjawat awam.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Taman Abad, Johor Bahru, petang semalam.

Jelasnya, polis bertindak menghampiri suspek selepas mendapati kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Suspek kemudian bertindak melarikan diri dan melanggar tiga buah kenderaan, serta memandu melawan arus.

Pihak polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta suspek.

"Suspek bertindak melarikan diri kemudian berhenti di tempat letak kenderaan Twin Galaxy. Kita ingat dia berhenti tetapi dia nampak anggota keluar, terus suspek bertindak merempuh tiga kenderaan lain untuk melarikan diri."

"Jadi, polis terpaksa mengambil tindakan meneutralkan keadaan dengan melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar," kata M. Kumar kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Oktober 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah manakala semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai 16 rekod lampau bersabit jenayah dan dadah.

Permohonan reman ke atas suspek dijangka akan dibuat, pada hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes turut disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM