IPOH, 19 Julai- Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Perak atas kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 di sekitar daerah Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak dan Bagan Datuk.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kesemua yang ditahan menerusi pemeriksaan di 15 premis termasuk kediaman, perniagaan, hotel dan pusat refleksologi selain di tepi jalan raya.
Beliau berkata operasi membabitkan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Ipoh dan Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Teluk Intan yang bermula 9 pagi semalam serta tamat pada 3.30 pagi tadi.
"Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 49 tahun terdiri daripada 11 warga Indonesia, Myanmar (enam), Bangladesh (tiga), India (tiga), Thailand (dua) dan seorang warga Sri Lanka.
"Penjual mangga asam boi warga Bangladesh antara yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Perak dalam usaha membanteras pendatang tanpa izin secara berterusan dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Meor berkata kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh dan Depot Imigresen Langkap bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Kenyataan itu berkata Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin termasuk pendakwaan di mahkamah.