fb fb fb fb fb

Guru penolong kanan cabul murid 12 tahun

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini/Foto BERNAMA

IPOH, 14 Oktober – Polis menahan seorang guru penolong kanan kokurikulum dari sebuah sekolah kebangsaan di sini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 12 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, mengesahkan laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 3.00 petang.

Tambah Azizi, suspek yang berusia 37 tahun yang masih bujang itu dipercayai menghantar gambar tidak senonoh kepada mangsa.

"Mangsa dipercayai telah dipeluk dan dicium bahagian mulut serta menerima gambar tidak senonoh daripada suspek.

“Suspek yang baru lapan bulan berkhidmat di sekolah itu direman selama enam hari bermula Sabtu lalu sehingga 17 Oktober depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah mahupun rekod dadah sebelum ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada Ahad, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, melalui laman Facebook, mengesahkan bahawa guru tersebut telah dikeluarkan serta-merta dari sekolah berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN