NIBONG TEBAL, 2 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 216 unit topi keledar bernilai RM54,000 yang dipercayai menggunakan tanda karya seni 'arai' tiruan dalam operasi di sebuah premis perniagaan di Sungai Bakap, semalam.
Pengarah Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang, S. Jegan dalam satu kenyataan berkata, operasi dijalankan bersama-sama wakil pemilik hak cipta selepas premis pemborong topi keledar dan aksesori motosikal itu disyaki menjual topi keledar bukan keluaran asli pemilik hak cipta.
"Hasil operasi dan pemeriksaan di premis berkenaan, kami menemukan 216 unit topi keledar dengan tanda karya seni 'arai' yang dianggarkan bernilai RM54,000, dan kesemua barang tersebut disyaki tiruan," katanya.
Bagaimanapun pihak KPDN Pulau Pinang telah merekodkan keterangan pemilik premis berkenaan untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat bawah Akta Hak Cipta 1987.
Pada masa sama KPDN Pulau Pinang turut mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat terlibat supaya mematuhi peraturan undang-undang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas.