fb fb fb fb fb

Gagal kemuka dokumen perjalanan sah, 10 ditahan

Antara premis yang diperiksa dalam Op Bersepadu JIM Labuan, semalam / Foto RTM

LABUAN, 9 November - Akibat gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah, 10 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan dalam satu operasi bersepadu.

Individu yang ditahan terdiri daripada empat lelaki, empat perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki warganegara Filipina serta seorang lelaki warganegara Indonesia.

Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai dalam kenyataan berkata, mereka disyaki melanggar kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Kesemua yang ditahan dibawa ke JIM Labuan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut," katanya.

Operasi dijalankan dari pukul 10.20 hingga 11.50 pagi semalam diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah (KTPP) JIM Labuan Fatrick James bersama 22 pegawai.

Ia dilaksanakan bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

Hasil pemeriksaan di premis dan sekitar bandar, seramai 133 individu diperiksa melibatkan 69 warganegara Malaysia dan 64 warganegara asing.

"Tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang termasuk pihak yang menggaji dan melindungi PATI, " tegas Raymond.

EMMI NORALIZA ADNAN