JOHOR BAHRU, 8 November - Seorang ejen insurans mengalami kerugian sebanyak RM372,645 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintenden Azrul Hisham Mohd Shaffee berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang melibatkan lelaki tempatan berusia 36 tahun.
Kejadian bermula pada 28 September lepas ketika mangsa berminat dengan satu iklan pelaburan yang dilihat di laman Facebook sebelum menghubungi nombor telefon tertera.
“Mangsa diminta memuat turun aplikasi SDXA Global melalui Google Play dan membuka akaun menggunakan maklumat peribadi miliknya dan kemudiannya melihat ada pertambahan wang di akaun miliknya setelah membuat pembayaran, meskipun sebelum itu tidak dijanjikan pulangan tetap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa juga membuat 26 kali transaksi pindahan wang ke empat akaun bank berbeza atas nama syarikat Sadokis Capital Sdn Bhd dan Sadokis Construction Sdn Bhd antara 28 September hingga 4 November lepas.
Superintenden Azrul Hisham berkata mangsa bagaimanapun akhirnya menyedari ditipu selepas tidak lagi menerima sebarang keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan wang pelaburan yang kononnya sudah untung.
“Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan butiran akaun bank terlibat, merekod keterangan pihak bank serta bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk mengenal pasti pemilik nombor telefon suspek,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda.
Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai, bahawa pelaburan yang sah tidak akan meminta pembayaran ke akaun peribadi atau menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat.