fb fb fb fb fb

Dua warga asing 'kantoi' sorok 10.6kg dadah dalam tayar ganti

FOTO POLIS KEDAH

ALOR SETAR, 2 Januari- Taktik sindiket pengedaran dadah di Kedah yang menyembunyikan barang terlarang dalam tayar ganti kenderaan digagalkan selepas muslihat tersebut berjaya 'dihidu' oleh polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, dua lelaki warga asing berusia 25 dan 41 tahun itu dicekup bersama dadah jenis syabu seberat 10.6 kilogram dalam serbuan pada 28 Disember lalu.

Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kedah mengesan dua suspek itu di Kampung Baru Balai Pos, Jalan Sungai Korok, Ayer Hitam.

Mereka ditahan sebaik turun daripada sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang diparkir di tepi jalan kawasan terbabit.

Dalam serbuan itu berlaku pergelutan susulan suspek cuba melarikan diri.

Hasil pemeriksaan kemudian menemukan 10 bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi dadah jenis syabu bernilai RM349,800 yang disembunyikan dalam tayar ganti di bahagian bawah tempat letak barang kenderaan tersebut.
 
Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu dan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar Kedah.
 
"Kalau ikut apa yang kita soal siasat, seorang suspek mengaku sudah dua kali melakukan kegiatan itu, (manakala) seorang lagi (suspek) kata dia baru terlibat.

"Barang kes itu semua datang (dipercayai) daripada seberang (negara jiran)," katanya kepada pemberita pada sidang media di IPK Kedah, di sini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek turut positif dadah jenis methaphetamine dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
 
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AISHAH BINTI MD ISA