fb fb fb fb fb

Dua pekerja kedai emas mengaku tidak bersalah, muat naik iklan guna gambar kerabat diraja Kelantan

(Kompleks Mahkamah Kota Bharu)

KOTA BHARU, 23 Oktober- Dua pekerja kedai emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, atas pertuduhan memuat naik gambar iklan perasmian kedai emas oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan lsmail Petra tanpa kebenaran, pada 16 Oktober lalu.

Tertuduh, Aznizan Yusof, 46 tahun dan Nor Asri Che Husin, 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Kedua-dua mereka didakwa menggunakan laman sosial Facebook secara sedar dengan memuat naik gambar iklan perasmian Kedai Emas A&K Gold And Jewelleries oleh Yang Amat Mulia Tengku Bendahara Kelantan tanpa kebenaran dengan niat menyakiti dan mengganggu institusi Kesultanan Kelantan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Pasir Kota, Kota Bharu, pukul 6.55 petang, pada 16 Oktober 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd Bakri, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Saiful Adli.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 setiap orang dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


(Kedua-dua tertuduh diiringi polis ketika tiba di mahkamah)

Media Baharu