fb fb fb fb fb

Dua pegawai tentera didakwa pukul pegawai bawahan

Foto hiasan

AYER KEROH, 31 Oktober - Dua pegawai tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas pertuduhan mencederakan seorang pegawai bawahannya dalam kejadian di Kem Terendak, Sungai udang Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh yang berpangkat kapten, masing-masing dari Rejimen Pertama Artileri Diraja Para bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienda Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh, Mohamad Solehudin Darus dan Ahmad Hazlan Haris Azman didakwa bersama-sama mencederakan pegawai bawahan berpangkat leftenan muda di bahagian muka, belakang badan dan paha.

Kejadian dilaporkan berlaku antara pukul 2.30 pagi hingga 6 pagi pada 22 Februari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dikenakan jaminan 3 ribu ringgit dengan seorang penjamin dan syarat tambahan kedua-dua tertuduh tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Kes akan disebut semula pada 18 Disember ini untuk serahan dokumen.

Trainee