fb fb fb fb fb

Dua lelaki didakwa, kes pecah rumah libatkan kerugian lebih RM1 juta

Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melakukan pecah rumah

IPOH, 26 Januari- Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melakukan pecah rumah yang melibatkan kerugian lebih RM1 juta pada bulan lalu.

Tertuduh Tan Kok Leong, 56 tahun dan Chan Weng Aon 39 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama melakukan pecah rumah milik Tan Soo Seng dengan niat hendak mencuri barang, antaranya jam tangan mewah jenama Rolex dan IWC, barangan kemas dan komputer riba bernilai RM1.25 juta di alamat No 11, Persiaran Shanghai Mansion Park di Ipoh pada kira-kira pukul 1.16 tengah hari, 12 Disember lalu .

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 ke atas setiap tertuduh mengambil kira kerugian dalam kes itu.

Hakim kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, manakala pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

ROSLINA BINTI DIN