fb fb fb fb fb

Dua lelaki didakwa bunuh pesara Felcra

Seorang kontraktor dan anak saudaranya didakwa di Mahkamah Majistret Jitra atas pertuduhan membunuh pesara Felcra Sabari Baharom

KUBANG PASU, 17 Oktober- Seorang kontraktor dan anak saudaranya didakwa di Mahkamah Majistret Jitra atas pertuduhan membunuh pesara Felcra Sabari Baharom, 62 tahun.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas Mazuan Hanafi, 38 tahun dan Muhd Asyraf Idris, 26 tahun dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama-sama membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Sabari, 62, di titi Kampung Empa Sungai Padang Terap, Kubang Pasu pada 4 September, kira-kira pukul 5.30 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau maksimum 40 tahun penjara dan sebatan minimum 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim; Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rizal Fadzil dan Nasruna Anhar Nordien

Manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun Majistret Nurul Huda Idris menetapkan 5 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Turut kelihatan di perkarangan mahkamah anak sulung Sabari, Suraiya Izzaty Sabari, 29 tahun dan adik Sabari.

Suraiya dilihat sebak sebaik melihat kedua-dua tertuduh tiba dan memasuki bangunan Mahkamah Jitra kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.

Suspek yang memakai penutup muka dibawa masuk ke bilik mahkamah dengan kawalan keselamatan ketat.

Sabari tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, dilaporkan hilang sejak 4 September dan kereta dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 September

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat susulan penahanan dua lelaki itu.

Operasi pencarian Sabari di kawasan sungai berkenaan dilaksanakan selama tiga hari, sebelum ditamatkan pada 3 Oktober.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI