fb fb fb fb fb

Dua individu rugi RM167,000 ditipu 'scammer'

FOTO HIASAN

KUCHING, 21 Mac- Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian hampir RM89,000 selepas terpedaya dengan penipuan projek tidak wujud di Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an mendakwa menerima tempahan peralatan mengukur tanah daripada individu yang mengaku sebagai kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Sarawak.

"Mangsa diminta membuat tempahan peralatan tersebut menerusi sebuah syarikat, namun selepas pembayaran dibuat, ejen syarikat berkenaan gagal dihubungi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas mendapatkan pengesahan daripada KPKT dan segera membuat laporan polis pada 18 Mac.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita tempatan berusia 40-an mengalami kerugian lebih RM78,000 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan yang tidak wujud.

Menurut Alexson, mangsa menerima tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, di mana dia dijanjikan komisen sebanyak 10 hingga 20 peratus sekiranya melaksanakan tugas membuat tempahan hotel.

"Mangsa telah membuat beberapa transaksi pindahan wang, namun tidak menerima sebarang komisen seperti dijanjikan. Akibatnya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM78,823," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE