KUALA PERLIS, 11 November -Taktik sindiket pengedaran dadah menyeludup ganja dari negara jiran menggunakan sampan kayu digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Hasil serbuan, pihak berkuasa merampas 67.48 kilogram ganja dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM6.2 juta.
Operasi dilakukan di kawasan Tambak Persisiran Pantai Bukit Putih, Kuala Perlis, kira-kira pukul 10 malam pada 13 Oktober lalu.
Serbuan dijalankan hasil risikan AMPOMA bersama Pasukan Risikan Ibu Pejabat JKDM, dengan bantuan Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi dan pasukan elit COBRA.
Pengarah Kastam Negeri Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, pemeriksaan di lokasi menemukan sebuah sampan kayu ditinggalkan bersama empat guni bertulisan Thailand.
Pemeriksaan lanjut ke atas guni tersebut menemukan dadah jenis bunga ganja seberat 67.48 kilogram.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, akan dikenakan sekurang-kurangnya 15 sebatan.