KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Seorang pesara guru berusia 72 tahun berputih mata setelah rugi RM1.75 juta akibat ditipu oleh sindiket 'phone scam' pada 9 Oktober lalu di Sandakan Sabah.
Mangsa telah menerima panggilan pada 22 Ogos lalu kononnya daripada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mangsa diarahkan untuk menyenaraikan semua akaun perbankan miliknya dan diminta 'mengangkat sumpah' untuk merahsiakan perkara itu.
"Mangsa kemudianya di arahkan mengeluarkan kesemua wang simpanan milikinya dan dimasukkan ke empat akuan milik pengadu sendiri. Mangsa juga diminta memasukkan kesemua maklumat kad ATM termasuk nombor pin serta kad sim yang digunakan ke dalam satu sampul surat dan seterusnya diletakkan di dalam semak berdekatan sebuah lorong kononnya bagi membolehkan pihak penyiasaa membuat audit," katanya.
Mangsa hanya menyedari diperdaya apabila mendapati semua wang miliknya dikeluarkan dan dipindahkan tanpa pengetahuannya.
Ramli berkata sehubungan itu, kes disiasat bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.
Secara keseluruhan, sebanyak 75 kes 'Phone Scam' telah dilaporkan sejak 1 Januari hingga 13 Oktober lalu yang menyebabkan kerugian sehingga melebihi RM5 juta.