fb fb fb fb fb

Chegu Bard mengaku tidak salah pertuduhan Akta Hasutan 1948 berkaitan projek Forest City

Chegu Bard ketika tiba di mahkamah

JOHOR BAHRU, 30 April- Seorang Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, hari ini  atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan projek komersial di Forest City, Johor Bahru menerusi media sosial, Jumaat lalu.

Tertuduh, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard, 45 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didapati menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial Facebook pada 26 April, kira-kira pukul 6.30 petang di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) Akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. 

Kes dikendalikan empat Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud, Abdul Ghafar Ab Latif, Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar manakala tertuduh diwakili peguam Rafique Rashid Ali. 

Hakim menolak cadangan perintah larangan yang dipohon dengan alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 24 Jun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin warganegara ditawarkan kepada tertuduh. 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE