fb fb fb fb fb

Ceroboh ladang sawit pada waktu malam buang sisa kimia

Penemuan pelbagai tong sisa kimia dibuang secara haram di ladang sawit berhampiran Bukit Pelandok, Port Dickson

PORT DICKSON, 20 Oktober - Pelbagai tong mengandungi cecair dipercayai sisa kimia dibuang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan ladang sawit milik penduduk di Bukit Pelandok, Port Dickson.

Menurut ADUN Chuah, Yew Boon Lye, tinjauannya mendapati penemuan lambakan pelbagai tong dipercayai mengandungi sisa toksik di kawasan kira-kira 3 hingga 4 kilometer dari jalan utama.

Aduan telah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sampel diambil bagi mengenal pasti jenis cecair yang terdapat dalam tong terbabit.

"Perbuatan membuang sisa kimia di kawasan yang tidak sepatutnya adalah amat tidak bertanggungjawab. Ini kerana boleh mencemarkan alam sekitar. Mereka ini boleh digelar penjenayah kerana telah menceroboh kawasan termasuk melakukan pembuangan sisa kimia," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan ke lokasi berkenaan di sini.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Pelandok, Teng Mee Chong menyatakan kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di kawasan Chuah.

Beliau mendakwa kemungkinan pembuangan sisa kimia itu dilakukan pada waktu malam setelah dimaklumkan mengenainya oleh pemilik tanah.

Manakala, Ketua Kampung India Bukit Pelandok, M. Selvan meminta pihak berkuasa termasuk JAS dan polis menjalankan siasatan bagi menahan segera pihak yang berbuat demikian.

Trainee2