fb fb fb fb fb

Bunuh rakan: Lelaki warga Myanmar dituduh bersama warga tempatan

Foto Hiasan

KUANTAN, 29 Mei- Seorang lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, dua minggu lalu.

Mohammad Toyub Muhammad Yusuf, 32 tahun, dituduh melakukan perbuatan tersebut bersama-sama seorang warga tempatan, Ahmad Izhaq Jurid, 42.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua tertuduh didakwa secara bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian keatas Jafar Alam Lalu, di sebuah kediaman di Kubang Buaya, Kuantan pada jam 6.38 petang, 15 Mei lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya dikenakan hukuman penjara hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,  Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 13 Jun depan bagi sebutan semula kes untuk lantikan jurubahasa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI