fb fb fb fb fb

Budak 12 tahun diculik, dicabul, nyaris dijual kepada sindiket pelacuran

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tengah) pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor

SHAH ALAM, 17 Oktober- Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang di Klang awal Oktober lalu dipercayai dicabul selain nyaris dijual kepada sindiket pelacuran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan perkara itu berdasarkan siasatan yang dilakukan selepas mangsa berjaya diselamatkan.

Datuk Hussein berkata mangsa dibawa dan ditahan sepanjang empat hari di sebuah pangsapuri di Setia Alam. Berdasarkan siasatan awal pihaknya, mangsa juga diberikan rokok elektronik yang mengkhayalkan sebelum dicabul.

Enam suspek berusia dalam lingkungan 13 hingga 23 tahun direman bagi membantu siasatan tersebut.

Manakala dua lagi individu berkaitan sindiket pelacuran masih sedang dikesan bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Datuk Hussein berkata demikian selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan kanak-kanak itu pada malam 8 Oktober, sebelum Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong mengesahkan kanak-kanak yang dipercayai diculik itu ditemukan selamat kira-kira 2.30 petang pada 12 Oktober.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE