LANGKAWI, 10 November - Radius operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa bot karam pada hari kedua, diperluas kepada 255.66 batu nautika persegi.
12 aset diatur gerak masing-masing melibatkan lima aset Maritim Malaysia, tiga aset Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, satu aset dari TLDM, sebuah bot Kevlar JBPM, sebuah bot APM dan satu aset dari Jabatan Perikanan Malaysia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi tertumpu di kawasan selatan Pulau Tarutao, manakala pihak berkuasa Thailand melakukan pencarian di bahagian utara.
"Peluasan radius operasi dilaksana berdasarkan pergerakan arus laut dengan pihak berkuasa Thailand juga membuat pemantauan udara, sama dengan Malaysia agar operasi berjaya mengesan mayat", katanya.
Bot terlebih muatan, uzur dan kebocoran yang tidak dapat dikawal dipercayai menjadi punca bot karam di perairan Thailand-Malaysia yang membawa imigran Myammar dan Bangladesh.