PUTRAJAYA, 3 Disember - Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan tiada individu yang melakukan perbuatan di luar batas undang-undang akan dilindungi.
Menteri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata kementerian sedia bekerjasama sepenuhnya dengan polis susulan penahanan seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang disyaki terlibat dalam aktiviti hubungan songsang di Pulau Pinang baru-baru ini.
Tambah beliau, kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
“Sebarang perkara yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa, kita akan bekerjasama sepenuhnya. Kita tidak akan melindungi mana-mana individu selagi sesuatu perbuatan itu dilakukan di luar lingkungan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Festival Idea Putrajaya 2025, hari ini.
Terdahulu, seramai 13 lelaki ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Bandar Perai Jaya, Perai, disyaki terlibat dalam aktiviti terlarang tersebut.
Antara yang ditahan ialah seorang warga emas dan seorang pelajar IPTA.